JENGKA 21 – Lucu apabila pencuri yang menyelinap masuk sebuah rumah didapati melarikan duit kertas berjumlah RM100 yang disangkakan duit sebenar di sebuah rumah peneroka Felda Jengka 21 malam kelmarin.
Mangsa, Mohd Rozi Amin, 33 berkata, ketika kejadian, dia dan keluarga tidak berada rumah kerana bercuti ke Kuantan.
"Sekitar jam 2 pagi kami pulang dan mendapati pintu rumah telah terbuka dan lampu di beranda yang dipasang sebelum meninggalkan rumah sekitar jam 11 pagi tertutup.
"Apabila melihat ke dalam rumah didapati rumah saya berada dalam keadaan berselerak dengan tilam dan pakaian yang dicampak ke lantai," katanya.
Namun katanya, beliau bersyukur kerana tiada barang yang diambil kecuali not RM100 mainan milik anaknya.
"Duit mainan tersebut saya cetak berwarna untuk dijadikan mainan buat anak-anak saya. Tidak sangka juga pencuri tersebut boleh mengambil duit tersebut," katanya.
Tambahnya, beliau dimaklumkan oleh jiran tetangga, kemungkinan rumahnya dimasuki pencuri sekitar jam 8 malam sebelum hujan kerana lampu yang dipasang sudah tertutup ketika itu. Beliau bagaimanapun tidak melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa kerana tiada barang berharga yang hilang.
Sinar Harian turut dimaklumkan pada malam sebelum kejadian curi terbabit, beberapa kejadian rompakan berlaku di tanah rancangan terbabit.
Malam sebelumnya, satu rompakan berparang berlaku di sebuah kedai makan dan karaoke di tanah rancangan yang sama.
Dalam kejadian tersebut, mangsa, Mohd Rizal Che Ani, 28 tercedera di perut kiri dan bahu kanannya kerana ditetak parang dan kini ditempatkan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) dan berada dalam keadaan stabil.
Abang mangsa, Risyam Che Ani, 35 berkata, ketika kejadian, mereka sekeluarga baru sahaja hendak melelapkan mata.
"Ketika itu sekitar jam 12.30 pagi dan saya sudah memasuki bilik dan sudah pun terlelap. Bagaimanapun, saya diberitahu adik saya, Mohd Rizal, baru sahaja hendak melelapkan mata sekitar jam 1.45 pagi.
"Adik saya beritahu, ketika itu dia ternampak cahaya dari lampu suluh kecil menyuluh sekitar ruang rumah bermula dari dalam bilik tempat saya tidur," katanya.
Katanya, perompak tersebut difahamkan memasuki melalui tingkap biliknya. Kebetulan katanya, tingkap biliknya itu tidak tertutup.
"Saya agak pelik kerana tidak perasan langsung ketika perompak tersebut melangkaui saya dan emak yang tidur dalam bilik tersebut.
"Keluar sahaja dari bilik saya, adik saya memberitahu perompak tersebut menyuluh ke arah dia, anak dan isterinya yang sedang tidur di ruang tamu," katanya.
Sebaik sahaja perompak cuba untuk menyentuh anak adiknya, Mohd Rizal terus menerkam perompak tersebut dan berlaku pergelutan.
"Ketika itu, saya terdengar bunyi orang bising dan terus terjaga. Isteri adik saya yang turut terjaga terus membuka lampu dan mendapati adik saya sedang mencengkam leher perompak tersebut dari belakang.
"Sedang bergelut, secara tiba-tiba perompak yang bertopeng dan bersenjatakan parang tersebut terus memjerit memanggil dua orang rakannya diluar rumah," katanya.
Sebaik sahaja masuk seorang lagi rakan perompak tersebut, Risyam terus membuka pintu rumahnya dan berlari keluar.
"Apabila saya buka pintu, saya dapati seorang lagi perompak berada di luar hanya memakai seluar dalam sahaja.
"Tidak memikirkan apa-apa ketika itu, saya terus berlari ke rumah berdekatan untuk meminta tolong dan kemudiaannya berlari ke sebuah kedai makan untuk meminta tolong," katanya.
Tambahnya, tidak tahu ke mana pergi perompak yang mengejarnya sebelum itu, beliau bersama sekumpulan penduduk tiba di rumah dan mendapati adiknya dalam keadaan berlumuran darah.
"Tanpa membuang masa, jiran menghubungi polis manakala saya terus menghantar adik saya ke hospital untuk menerima rawatan.
"Ini merupakan kali pertama kejadian ini menimpa kami sekeluarga, dan kejadian sebegini membuatkan saya trauma, " katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kebajikan Rancangan (JKKR) Felda Jengka 21, Aziz Bakar berkata, kemungkinan ketika kejadian anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) baru sahaja selesai melakukan rondaan.
"Kami meronda setiap malam dan kemungkinan rompakan berlaku sebaik sahaja anggota selesai melakukan rondaan di kawasan tersebut.
"Tambahan pula, anggota SRS di kawasan ini terlalu sedikit dan kami meronda menaiki motosikal. Selepas kejadian ini, kemungkinan kami akan memperketatkan lagi rondaan," katanya.
Tambahnya, sebelum kejadian rompakan itu, berlaku lagi satu kejadian di mana dua buah kereta dipecah dan beberapa barang berharga dilarikan di kawasan perumahan pekerja kilang.
"Pada malam rompakan itu juga, saya dimaklumkan dua buah rumah hampir dimasuki pencuri kerana terdapat kesan dikopek di bahagian pintu kedua-dua rumah tersebut.
"Dengan kejadian rompakan yang semakin berleluasa ini, saya harap penduduk dapat bekerjasama membantu anggota SRS mengawal kawasan kampung selain mengharapkan bantuan dari pihak berkuasa," katanya.
Deputi Superintendan Ibu Pejabat Polis Daerah Maran, Ahmad Johari Shahabudin berkata, pihaknya mengesahkan kejadian tersebut dan sedang melakukan siasatan.
"Sekiranya ada dalam kalangan penduduk yang mempunyai maklumat berkaitan perompak terbabit diharap dapat menghubungi balai polis berdekatan dengan segera," katanya.
Sumber:http://www.sinarharian.com.my/
p/s: Isk..isk.. Macam2 dok jadi la ni... Moral of tehe story: jgn dok mencuri yek, byk lg keja yang halal.
"Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya) (Al-Baqarah 2:255)"
0 jejari yang tajam menaip:
Post a Comment